Tuesday, May 25, 2010

Lawatan Ke Tapak Pembinaan Institut Pendidikan Guru di Bandar Enstek

Pada 22 Mei yang lepas, satu lawatan rasmi daripada pihak Institut Pendidikan Guru kampus Pendidikan Teknik, Kuala Lumpur ke tapak pembinaan Institut Pendidikan Guru yang baru di bandar Enstek telah diadakan. Lawatan ini diketuai oleh Timbalan Pengarah Institut , Cik Hajah Rosenah Binti Mohd Noor, diiringi pensyarah - pensyarah, staf - staf sokongan serta Ahli Jawatankuasa Kolej Kediaman.

Bas rombongan bertolak tepat jam 9.30 daripada institut. Seramai 13 orang pensyarah dan staf sokongan serta 7 guru pelatih yang mewakili Ahli Jawatankuasa Kolej Kediaman masing - masing telah menyertai lawatan pada kali ini.

Setibanya rombongan di bandar Enstek, wakil daripada pihak pengurusan telah membawa pihak Institut melawat sekitar kawasan Kompleks Kementerian Pelajaran Malaysia. Terdapat beberapa institut pendidikan yang lain seperti Institut Aminudin Baki, Institut Perpustakaan dan Maklumat Negara, Akademi Dewan Bahasa & Pustaka, Pusat Bahasa Inggeris, Kolej Tunku Kursiah dan Politeknik Bioperubatan (Bio Medical Polytech).

Setelah itu, pihak institut telah dibawa ke bilik mesyuarat untuk mendengar taklimat berkenaan pembinaan Institut Pendidikan Guru yang baru. Melalui penerangan yang diberikan, anggaran keluasan institut yang baru ialah 100 ekar dan mengandungi 3 blok kolej kediaman lelaki, 5 blok kolej kediaman perempuan dan 1 dewan serbaguna. Setiap kolej kediaman mempunyai bangunan kafetaria masing - masing dan jarak antara kolej kediaman lelaki dan perempuan dianggarkan 500 meter. Bagi kolej kediaman lelaki, terdapat 2 blok 4 tingkat dan 1 blok 5 tingkat manakala bagi kolej kediaman perempuan 5 blok 4 tingkat. Kesemua blok kolej kediaman tidak mempunyai lif.

Bagi blok akademik pula, terdapat 1 bangunan dewan kuliah yang mampu memuatkan 300 orang pelajar, 1 bangunan pusat sumber 2 tingkat, bangunan bilik - bilik kuliah dan bangunan bengkel dan makmal.

Setelah mendengar taklimat, pihak rombongan telah dibawa melawat ke tapak pembinaan. Diberitahu bahawa proses pembinaan secara keseluruhannya telah baru menjangkau 25% dan dijadualkan siap pada hujung tahun hadapan atau awal tahun 2012. Melalui pemerhatian, bangunan kolej kediaman lelaki terletak di atas bukit manakala kolej kediaman perempuan di bawah bukit. Permandangan setiap kolej kediaman sangat cantik dan tenang apabila mata memandang.

Setelah itu, pihak institut telah dibawa melawat ke rumah - rumah contoh bandar Enstek yang terletak sekitar Kompleks Kementerian Pelajaran Malaysia. Kemudian, pihak pengurusan telah menyediakan sedikit jamuan sebagai tanda penghargaan kepada pihak institut atas kesudian melawat ke Bandar Enstek.

Disediakan oleh,
AMIRUL SHAMIM BIN MOHD POGI
EXCO DISIPLIN,
JPP IPG KPT 2010/2011





















Saturday, May 22, 2010

Pesta Konvokesyen dan Majlis Istiadat Konvokesyen IPG Kampus Pendidikan Teknik

Wednesday, May 19, 2010

Sambutan Hari Guru 2010 Peringkat IPG Kampus Pendidikan - Bahagian 3

Selesai acara sukaneka, para pensyarah yang terlibat diberi sedikit masa untuk menukar pakaian. Semua pelajar mula memenuhi Dewan Besar IPG Kampus Pendidikan Teknik. Setelah di dataran kini majlis dilangsungkan pula di dewan. Pada pukul 11.00 pagi, majlis dimulakan dengan pensyarah-pensyarah mengambil tempat di dalam dewan. Kemudian majlis diteruskan dengan menunggu ketibaan Timbalan Pengarah IPG Kampus Pendidikan Teknik. Sambutan dimulakan dengan paluan kompang mengiringi ketibaan Timbalan Pengarah. Kemudian satu persembahan silat dipersembahkan di hadapan Timbalan Pengarah. Setelah Timbalan Pengarah mengambil tempat majlis diteruskan dengan ucapan aluan oleh saudara dan saudari pengacara majlis. Kemudiannya satu tayangan video berunsur ucapan-ucapan dari pelajar IPG Kampus Pendidikan Teknik ditayangkan. Majlis diteruskan lagi dengan dengan persembahan dari pensyarah-pensyarah. Antara pensyarah yang membuat persembahahn adalah En. Rohizat B. Ariff, Jabatan Ekonomi Rumah Tangga menyampaikan 2 buah lagu, Pn. Norehan Bt. Mohd Shaharoun, Jabatan Matematik menyampaikan 2 buah lagu sambil bermain gitar dan Tn. Hj. Amin B Mohd Jadi, Jabatan Kejuruteraan Elektrik menyampaikan 2 buah lagu juga. Kemudian majlis menjemput Jaspreet dan Safuan untuk meyampaikan anugerah khas pertama kepada pensyarah iaitu pensyarah cantik menawan dan pensyarah kacak bergaya. Bagi kategori ini pemenangnya adalah Pn. Sharizan dan En. Shaharudin. Tentatif diteruskan lagi dengan menjemput 3 penyajak berbahasa Inggeris menyampaikan sajak-sajak mereka. Selesai menyampaikan persembahan, ketiga-tiga penyajak ini diberi hadiah atas kejayaan mereka dalam pertandingan mendeklamasi sajak Bahasa Inggeris. Majlis beralih pula kepada penyampaian anugerah khas seterusnya iaitu anugerah pensyarah paling ceria lelaki dan wanita. Bagi kategori ini majlis menjemput Saudara Azwan dan Saudari Razlina menyampaikan anugerah dan pemenangnya adalah En. Wee Kok Leng dan Pn. Rahmah. Tentatif beralih pula kepada persembahan dikir barat daripada kumpulan dikir barat IPG Kampus Pendidikan Teknik. Lagu yang disampaikan adalah Guruku..ohh..guruku. Majlis diteruskan lagi dengan menjemput Saudara Aiman dan Saudari Fatin bagi menyampaikan anugerah pensyarah popular lelaki dan wanita. Pemenang bagi kategori ini adalah En. Abu Bakar dan Pn. Sabariah. Selesai penyampaian anugerah, majlis diteruskan dengan persembahan pantomin daripada pelajar 2 PPISMP TESL. Majlis berakhir dengan perarakan keluar Pengarah dan Timbalan Pengarah. Majlis berakhir pukul 1.00 tengahari.









Sambutan Hari Guru 2010 Peringkat IPG Kampus Pendidikan - Bahagian 2

Setelah Pengacara Majlis mengumumkan majlis bersurai untuk sesi yang pertama semua pensyarah berkumpul bersama-sama untuk mengambil gambar kenangan berlatar belakangkan banner besar Sambutan Hari Guru 2010. Setelah itu, pensyarah-pensyarah yang diberi masa untuk bertukar pakaian bagi menjalankan aktiviti seterusnya iaitu sukaneka. Sukaneka membariskan dua acara yang dipertandingkan. 5 kumpulan pensyarah dibentuk dah salah dua dari peserta dalam kumpulan adalah Pengarah dan Timbalan pengarah sendiri. Antara barisan pensyarah yan turut serta adalah En. Hamid, En. Razi, Miss Tan Kim Lan dan ramai lagi. Acara pertama adalah memancing botol dah memecahkan belon dengan mendudukkannya. Melihat keletah pensyarah-pensyarah, mereka sangat terhibur dengan acara yang disediakan. Acara kedua pula melibatkan pensyarah dalam berjalan menggunakan guni, mengumpul gelang getah dalam tepung menggunakan penyedut minuman, dan peserta terakhir perlu memakan buah epal sehingga habis. Acara ini juga menunjukkan saingan hebat dari para pensyarah. Selesai acara, Pengarah menyampaikan hadiah kepada pemenang kedua-dua acara.







Tuesday, May 18, 2010

Sambutan Hari Guru 2010 Peringkat IPG Kampus Pendidikan - Bahagian 1

Pada hari Isnin, 17 Mei 2010 telah berlangsungnya Sambutan Hari Guru bagi tahun 2010 peringkat IPG Kampus Pendidikan Teknik Kuala Lumpur. Sambutan bersempena sambutan hari guru seluruh Malaysia yang disambut pada 16 Mei setiap tahun untuk menghargai dan mengenang jasa guru-guru seluruh Malaysia. Bagi sambutan hari guru peringkat IPG Kampus Pendidikan Teknik, sambutan lebih bertujuan menghargai usaha yang telah diberi tenaga-tenaga pendidik@pensyarah-pensyarah yang mendidik bakal-bakal guru bagi menjadi guru yang berguna kelak. Dengan tema "Guru Pembina Negara Bangsa" sambutan bermula pada pukul 8.00 pagi bertempat di Dataran Muafakat, IPG Kampus Pendidikan Teknik. Majlis Sambutan yang dimulakan dengan ketibaan pensyarah-pensyarah. Kemudian, tentatif diteruskan dengan ketibaan Pengarah IPG Kampus Pendidikan Teknik, Pn. Hjh Zakiyah Bte Idris dan Puan Timbalan Pengarah Cik Hjh Rosenah Bte Mohd Noor diiringi oleh Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar Tn. Hj. Muaaz b. Muhammad dan Pensyarah kanan Jabatan Pengajian Perdagangan En. Khir Johari Mohd Ali merangkap pengarah projek. Tentatif diteruskan dengan bacaan doa dengan pimpinan saudara Naqib B. Harun, JPP Islam. Seterus, hadirin dijemput untuk berdiri bagi menyanyikan 4 buah lagu iaitu lagu Negaraku, Lagu Guru Malaysia, Lagu IPG KPT - Berusaha Berbakti dan Lagu IPG Malaysia dengan iringan kumpulan Koir IPG Kampus Pendidikan Teknik dibawah pimpinan Pn. Soon Yean Wan, Pensyarah Jabatan Sains Sosial. Selesai nyanyian, majlis beralih pula kepada bacaan perutusan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia dan perutusan Menteri Pelajaran Malaysia yang disampaikan oleh Tn. Hj. Amin B Mohd Jadi, Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Pn. Haliza Hamzah, Ketua Jabatan Ilmu Pendidikan. Tentatif diteruskan lagi dengan menjemput Pengarah IPG KPT menyampaikan amanat berkaitan hari guru kepada semua hadirin. Selesai memberikan ucapan, Tentatif majlis beralih kepada gimik sambutan hari guru. Gimik dimulakan 3 kanak-kanak membawa keris kepada puan pengarah untuk dicucuk pada tempat yang telah disediakan sebagai simbolik sambutan. Seiring dengan itu satu banner dibuka. Kemudian 4 pelajar berpakaian melayu serba lengkap mengangkat tandu yang berisi pulut kuning bagi dipotong oleh pengarah. Dengan itu maka berakhirlah sesi pertama Majlis Sambutan Hari Guru 2010 IPG Kampus Pendidikan Teknik Kuala Lumpur.




MEMIMPIN ke arah yang lebih baik
AMANAH dalam menggalas tugas dan tanggungjawab
BERKHIDMAT untuk kepentingan bersama

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | JCpenney Printable Coupons