Tuesday, May 25, 2010

Lawatan Ke Tapak Pembinaan Institut Pendidikan Guru di Bandar Enstek

Pada 22 Mei yang lepas, satu lawatan rasmi daripada pihak Institut Pendidikan Guru kampus Pendidikan Teknik, Kuala Lumpur ke tapak pembinaan Institut Pendidikan Guru yang baru di bandar Enstek telah diadakan. Lawatan ini diketuai oleh Timbalan Pengarah Institut , Cik Hajah Rosenah Binti Mohd Noor, diiringi pensyarah - pensyarah, staf - staf sokongan serta Ahli Jawatankuasa Kolej Kediaman.

Bas rombongan bertolak tepat jam 9.30 daripada institut. Seramai 13 orang pensyarah dan staf sokongan serta 7 guru pelatih yang mewakili Ahli Jawatankuasa Kolej Kediaman masing - masing telah menyertai lawatan pada kali ini.

Setibanya rombongan di bandar Enstek, wakil daripada pihak pengurusan telah membawa pihak Institut melawat sekitar kawasan Kompleks Kementerian Pelajaran Malaysia. Terdapat beberapa institut pendidikan yang lain seperti Institut Aminudin Baki, Institut Perpustakaan dan Maklumat Negara, Akademi Dewan Bahasa & Pustaka, Pusat Bahasa Inggeris, Kolej Tunku Kursiah dan Politeknik Bioperubatan (Bio Medical Polytech).

Setelah itu, pihak institut telah dibawa ke bilik mesyuarat untuk mendengar taklimat berkenaan pembinaan Institut Pendidikan Guru yang baru. Melalui penerangan yang diberikan, anggaran keluasan institut yang baru ialah 100 ekar dan mengandungi 3 blok kolej kediaman lelaki, 5 blok kolej kediaman perempuan dan 1 dewan serbaguna. Setiap kolej kediaman mempunyai bangunan kafetaria masing - masing dan jarak antara kolej kediaman lelaki dan perempuan dianggarkan 500 meter. Bagi kolej kediaman lelaki, terdapat 2 blok 4 tingkat dan 1 blok 5 tingkat manakala bagi kolej kediaman perempuan 5 blok 4 tingkat. Kesemua blok kolej kediaman tidak mempunyai lif.

Bagi blok akademik pula, terdapat 1 bangunan dewan kuliah yang mampu memuatkan 300 orang pelajar, 1 bangunan pusat sumber 2 tingkat, bangunan bilik - bilik kuliah dan bangunan bengkel dan makmal.

Setelah mendengar taklimat, pihak rombongan telah dibawa melawat ke tapak pembinaan. Diberitahu bahawa proses pembinaan secara keseluruhannya telah baru menjangkau 25% dan dijadualkan siap pada hujung tahun hadapan atau awal tahun 2012. Melalui pemerhatian, bangunan kolej kediaman lelaki terletak di atas bukit manakala kolej kediaman perempuan di bawah bukit. Permandangan setiap kolej kediaman sangat cantik dan tenang apabila mata memandang.

Setelah itu, pihak institut telah dibawa melawat ke rumah - rumah contoh bandar Enstek yang terletak sekitar Kompleks Kementerian Pelajaran Malaysia. Kemudian, pihak pengurusan telah menyediakan sedikit jamuan sebagai tanda penghargaan kepada pihak institut atas kesudian melawat ke Bandar Enstek.

Disediakan oleh,
AMIRUL SHAMIM BIN MOHD POGI
EXCO DISIPLIN,
JPP IPG KPT 2010/2011





















0 comments:

Post a Comment

MEMIMPIN ke arah yang lebih baik
AMANAH dalam menggalas tugas dan tanggungjawab
BERKHIDMAT untuk kepentingan bersama

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | JCpenney Printable Coupons