Sunday, August 1, 2010

Gotong-Royong Perdana di Rumah Kanak-kanak Tengku Budriah Cheras, Kuala Lumpur

Pada 31 Julai 2010, sekumpulan guru pelatih Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Teknik, Kuala Lumpur telah mengadakan Gotong-Royong Perdana di Rumah Kanak-kanak Tengku Budriah Cheras, Kuala Lumpur. Program yang julung kali diadakan ini adalah hasil kerjasama antara pihak pengurusan Institut Pendidikan Guru. Kampus Pendidikan Teknik (IPG KPT) bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Program yang dirasmikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Meme Binti Zainal Rashid. Program ini disertai oleh 132 orang guru pelatih IPG KPT Ambilan Jun 2010 bersama Ahli Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Sesi 2010/2011. Penglibatan guru pelatih dalam program yang bersifat kemasyarakatan ini adalah bagi merealisasikan visi dan misi Jabatan Kebajikan Masyarakat yang ingin mewujudkan masyarakat sejahtera dan penyayang serta membangun masyarakat ke arah kesejahteraan sosial.

Program yang berlangsung di Rumah Kanak-kanak Tengku Budriah Cheras, Kuala Lumpur ini dimulakan dengan majlis perasmian yang disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato’ Meme. Majlis ini dihadiri oleh Pengetua Rumah kanak-kanak Tengku Budriah, wakil Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta wakil Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar IPG KPT, penghuni Rumah Kanak-kanak Tengku Budriah, Jawatankuasa Perwakilan Pelajar IPG KPT sesi 2010/2011 serta guru pelatih semester satu Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan, IPG KPT.

Sesuai majlis perasmian yang meriah dan penuh ukhwah,Yang Berbahagia Dato’ Meme dijemput untuk menanam sebatang pokok yang ditaja oleh Tapak Semaian Baharom, Bandar Tun Razak. Proses penanaman pokok tersebut merupakan simbolik bermulanya acara gotong-royong di Rumah Kanak-kanak Tengku Budriah. Guru-guru pelatih yang hadir dibahagikan kepada tiga kumpulan mengikut pengkhususan tugasan seperti memasak, menebang pokok dan menanam pokok hiasan di sekitar rumah kanak-kanak tersebut.

Program ini juga dibantu oleh kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur terutamanya dalam kerja-kerja menebang dan menanam pokok-pokok besar. Alatan khusus untuk gotong-royong juga disediakan bagi memudahkan guru pelatih menjalankan tugas masing-masing. Memasak merupakan tugasan yang paling muhibah kerana guru pelatih bekerjasama dengan penduduk berhampiran dalam penyediaan makanan tengah hari untuk penghuni Rumah Kanak-kanak Tengku Budriah serta semua pihak yang terlibat dengan program ini. Seekor lembu telah disembelih seiring dengan Majlis Akikah untuk kanak-kanak yang ditempatkan dalam rumah ini.

Aktiviti gotong royong ini selesai pada jam 12.00 tengah hari. Guru pelatih diberi peluang meninjau keadaan dan berbual dengan penghuni rumah kanak-kanak ini. Terdapat beberapa maklumat dan pengetahuan yang telah ditimba melalui kisah dan pengalaman petugas dan sukarelawan yang terlibat secara langsung dengan Rumah Kanak-kanak Tengku Budriah ini. Program gotong dilihat telah memenuhi beberapa objektif Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mewujudkan masyarakat yang berbudaya penyayang; meningkatkan kesejahteraan masyarakat melalui perkhidmatan kebajikan dan pembangunan sosial yang profesional serta perkongsian tanggungjawab yang strategik.

Program yang telah berjaya mencapai objektifnya ini dianggap sebagai fasa pertama kerjasama antara Rumah Kanak-kanak Tengku Budriah dengan Institut Pendidikan Guru, Kampus Pendidikan Teknik. Fasa kedua merupakan rancangan program sukarelawan guru pelatih di Rumah Kanak-kanak ini pada masa akan datang. Rancangan murni ini diharap dapat menarik minat dan kesedaran guru pelatih dalam keperluan dan tanggungjawab bersama dalam komuniti dan masyarakat terutamanya kepada yang kurang bernasib baik.













1 comments:

kanna_3605@ yahoo.com,my said...

nama saya kanna.selepas 34 tahun yang lepas saya adalah salah seorang budak yang tinggal diasrama rumak kanak2 tengku budriah cheras.semasa saya masuk diasrama umur saya saya adalah lima tahun selepas sya keluar diasrama umur saya adalah 12 tahun (1977).Apabila seya ketempat kerja dari kajang kekuala lumur.iaitu saya mesti melalui jalan cheras.Dan saya selalu ingat zaman kanak2 .dan saya amat merindui tempat yang saya tinggalkan boleh tak saya tahu pada tahun bilakah rumah kanak2 tengku budriah cheras telah ditubuhkan

Post a Comment

MEMIMPIN ke arah yang lebih baik
AMANAH dalam menggalas tugas dan tanggungjawab
BERKHIDMAT untuk kepentingan bersama

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | JCpenney Printable Coupons